Saturday, February 12, 2011

CARA "CROSS-EXAMINATION" SAKSI PLAINTIF DALAM KES KEMALANGAN

1. Saya pernah suatu ketika dahulu dalam posting yang lepas-lepas membicarakan cara berhujah dalam kes kemalangan terutamanya dari sudut seorang peguam Plaintif.

2. Sekarang saya ingin membicarakan cara-cara untuk soal-balas (cross-examination) saksi-saksi bagi peguam Defendan. Dengan kata lain soal-balas saksi-saksi Plaintif.

3. Pertamanya, amatlah sukar untuk menafikan kecuaian Plaintif secara anggapan pertama (first inference) kerana jika dia cuai kenapa dia menyaman Defendan?

4. Namun begitu kes-kes bukanlah semua begitu. Ada antara kes-kes Plaintif itu layak untuk di tolak (dismiss) oleh Mahkamah atau ada kecuaian sertaan (contributory negligence) oleh Plaintif.

5. Antara saksi-saksi yang biasa dikemukan untuk kes Plaintif adalah (1) Plaintif sendiri (2) Majikan (3) Isteri (4) Suami (5) Ibu-bapa (6) doktor pakar (7) pomen (8) saksi bebas dll.

6. Saksi utama bagi kes Plaintif adalah Plaintif sendiri kerana beliaulah yang menjadi pihak menuntut.

7. Kebiasaanya Plaintif tidak berpengalaman dalam memberi keterangan di mahkamah kerana kemalangan yang beliau terlibat adalah satu kali sahaja. (Nota: Namun begitu saya tidak nafikan ada di kalangan Plaintif yang terlibat dalam kemalangan lain sebelum itu. Tetapi situasi ini adalah jarang berlaku)

8. Sebagai peguam Plaintif memanglah mereka akan memberi tunjuk ajar kepada saksi-saksi Plaintif bagaimana untuk bercakap di dalam kandang saksi.

9. kegagalan untuk mengajar mereka adalah 'fatal'. Saksi boleh memberi keterangan yang mengarut dan tidak berpihak kepada kes mereka.

10. Tunjuk-ajar dari peguam Plaintif bukanlah satu kesalahan kerana di dalam Akta Keterangan 1950 mempunyai peruntukan yang mengatakan bahawa komunikasi antara peguam dan anak guamnya adalah 'previlege communication". Dengan kata lain ada 'kekebalan' di sini.

11. Selepas saksi-saksi Plaintif di soal-utama (examination in chief) maka peguam Defendan akan diberi peluang untuk soal-balas (cross-examination).

12. Cara untuk soal-balas Plaintif bukanlah dengan menanyakannya sesuatu yang akan dia nafikan seperti samada dia sedang menggunakan handset semasa kemalangan berlaku atau beliau bercakap-cakap dengan penumpang/pembonceng semasa kemalangan berlaku kerana ini bersifat 'fishing question'. Nota: melainkan perkara ini diakui dalam laporan polisnya.

13. Peguam Defendan harus menfokuskan bagaimana Plaintif mengawal kenderaannya iaitu tentang pergerakan kenderaannya. Contohnya: adakah dia cuba elak kemalangan. Jika ada ke arah mana. Jika dia elak kenapa kemalangan masih berlaku? Jika dia tidak elak ini bermakna ada sumbangan kecuaian dari pihaknya.

14. Jika ada kesempatan lain saya akan membincangkan bagaimana untuk soal-balas saksi-saksi Plaintif yang lain.