Friday, June 25, 2010

Saya dan besi....


(Besi ini lebih kurang sama dengan spesis besi yang telah saya jinakkan..)

1. Sudah agak lama saya berehat dari berblog. Macam-macam halangan yang mendatang. Mungkin ada yang beranggapan bahawa saya akan "bersara" dari berblog. Tapi tidak sebenarnya. Menulis atau berblog adalah kegemaran saya. Apapun halangan saya akan selesai dulu halangan tersebut sehingga saya mula menulis semula.

2. Mungkin satu halangan dalam berblog ini adalah tumpuan yang telah saya alihkan dalam menjinakkan satu spesis besi yang agak liar dan liat.

3. Di dalam al-Quran ada direkodkan "Kami turunkan besi padanya kekuatan yang amat sangat dan keguanaan-kegunaan kepada manusia dan untuk Allah mengetahui siapa yang menolong-Nya dan rasulnya dalam perkara ghaib. Sesungguhnya Allah maha perkasa lagi kuat': Al-Hadid.

4. Al-Hadid (besi) datang dengan isim makrifat maknanya spesifik. Adakah ia merujuk kepada logam besi tertentu atau mana-mana bahan yang berasaskan besi? Tiada komentar dari mana-mana pentafsir al-Qur'an yang menghuraikan perkara ini.

5. Kalaulah al-hadid itu makrifat adakah ia merujuk kepada "Zul Fiqar" pedang lagenda yang terkenal yang digunakan oleh Nabi Muhammad s.a.w di dalam peperangan?

6. Saya hanya berani katakan wallahu'aklam!

7. Besi itu dikaitkan dengan perkara ghaib dan sifat yang jitu. Ia berkait dengan pihak yang ingin gunakannya dalam menolong Allah dan Rasulnya dalam perkara ghaib.

8. Kita tidak harus menghadkan spesis besi kepada logam besi sahaja. Kerana menurut sains ada berbagai-bagai spesis besi. Antaranya spesis besi yang ditakuti iaitu (uranium). Uranium yang diperkayakan boleh dijadikan bahan peledak yang lebih bahaya dari bom atom. Boleh memusnahkan sesebuah negara dalam sekelip mata.

9. Cubaan Iran untuk mengayakan uranium ditentang dan digugat oleh kuasa-kuasa besar. Adakah ini menghalang dari pemilikan umat Islam terhadap spesis besi yang ditakuti?

10. Saya tidak mahu pergi lebih jauh lagi. Seperti tajuk di atas ia adalah "saya dan besi...". Saya cuba berkawan dengan spesis besi. Antaranya Merc-Benz. Ia adalah besi yang telah diolah sehingga disegani.

11. Harganya agak menakutkan. Untuk mempertahankannya adalah sukar dalam mampu. Ketika saya mencari spesis ini dikedai-kedai kereta, jurujual memberitahu saya bahawa yang paling banyak memiliki spesis besi ini adalah ahli-ahli direct-selling. Lantas saya menceritakan hal ini kepada kawan-kawan peguam saya. Mereka mengatakan kamilah juga yang melelong kereta-kereta mereka apabila gagal menjelaskan tunggakan!

12. Apapun besi seperti magnet. Mempunyai sifat menarik dan menolak. Menarik kebaikan kepada empunya. Menolak perkara-perkara yang tidak diingini.

13. Saya pernah melihat perlanggaran antara Merc dengan kereta proton. Proton rosak teruk. Merc tidak patahpun platenya!

14. Apa lagi jika kita membincangkan nyawa jika berlaku pertembungan di atas jalanraya!

Saturday, April 3, 2010

Masa Depan Accidentologist

''At $300 million a year fees, it was hard to picture Patton French as an underdog. But he was playing to the crowd. Clay glanced around and wondered, not for the first time, if he was only sane one there. Were these people so blinded by the money that they honestly believed themselves to be defenders of the poor and sick?
Most of them owned jets!''
Chapter 15:King of Torts: John Grisham

Mereka melalui udara, kita melalui jalan bawah
------------------------------------------------------

1. Petikan di atas dari buku King of Torts oleh John Grisham menceritakan kekayaan peguam-peguam megendalikan kes-kes tort di Amerika Syarikat.

2. ''Accidentologist'' adalah cabang kes-kes tort. Kalau di mahkamah sesyen kes kemalangan difailkan dengan digit awal 53 kerana ada tuntutan gantirugi am dan khas.

3. Kalau di Amerika Syarikat yuran guaman tahunan mencecah USD300,000,000.00 (RM1,200,000,000) setahun! Tetapi di Malaysia yuran guaman tahunan bagi syarikat guaman RM100,000.00 sudah dianggap lumayan.

4. Begitu juga di Malaysia kalau peguam-peguam Malaysia membicarakan Merc, BMW dan kereta-kereta mewah lain di Amerika Syarikat peguam-peguam mereka membicarakan Gulfstream, Learjet dan lain-lain pengangkutan udara! Begitu jauh bezanya!

No Fault Liability
-------------------

5. Antara perbincangan hangat kini dalam kalangan peguam-peguam accidentologist di Malaysia adalah NFL.

6. Kalau mengikut telitian saya dalam MLJ, NFL sudah dibincangkan semenjak 30 dahulu lagi tapi tak pernah dilaksanakan.

7. Mengikut sumber-sumber yang biasa dengan isu ini pelobi dari kalangan ahli korporat insuran telah melobi pihak kerajaan terutamanya Bank Negara sehingga ada kata-kata yang mengatakan ia akan dilaksanakan selewat-lewatnya bulan 7 ini.

8. Sebagai peguam accidentologist saya katakan bahawa kalau NFL dilaksanakan di Malaysia ia hanyalah menguntungkan satu pihak sahaja.

9. Sistem nasihat (advisory system) di dalam tuntutan pihak ketiga yang cedera (3rd party bodily injury) mempunyai banyak hikmah dan kelebihan berbanding sistem keputusan tribunal NFL.

10. Kita harus ingat bahawa segmen masyarakat yang paling banyak menerima kesan NFL adalah masyarakat kelas bawah. Lebih spesifik adalah ''mat-mat motor''.

11. Ia adalah umpama perlawanan antara kelas korporat atasan dengan kelas bawahan mat-mat motor.

Yuran Kontinjen
-------------------

12. Saya pernah ternampak deraf Yuran Kontinjen iaitu 20% terhadap jumlah award yang diperolehi oleh plaintif sebagai yuran guaman.

13. Oleh itu tidak timbul isu ada peguam yang mengenakan yuran guaman sehingga 50% dari jumlah award.

Masa depan peguam-peguam tort
---------------------------------------

14. Kita melihat lebih luas. Kalaulah sistem kehakiman dan guaman kita lebih pragmatik dan berani maka tidak mustahil akan lahir peguam-peguam jutawan seperti Clay Carter dan Patton French.

15. Tindakan berkelas (class action) harus mempunyai ruang di Malaysia. Kalau tidak silap saya di dalam satu tindakan berkelas yang dimulakan oleh Lim Kitt Siang terhadap sebuah entiti korporat terkenal atas alasan beliau sebagai ''taxpayer'' telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Kesimpulan
-------------

16. Dengan diperkenal NFL di Malaysia ia akan mematikan agenda Model Ekonomi Baru yang ingin melahirkan rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi antaranya melalui yuran guaman kes-kes kemalangan kerana peguam-peguam akan kehilangan kerjaya yang sedia ada sebagai perantara dalam tuntutan pihak cedera dengan gergasi insuran.

17. Aspek keadilan juga akan dinafikan dengan terlaksananya NFL kerana penilaian liabiliti dianggap tiada.

Saturday, March 6, 2010

Tuntutan Pewaris (Estate Claim)

1. Jika simati meninggal sebelum tuntutannya selesai diputuskan oleh mahkamah maka hak menuntut itu berpindah kepada pewarisnya.

2. Hak untut menuntut bagi pihak simati ini oleh pewarisnya diberikan kuasa oleh seksyen 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

3. Bagi gantirugi kesakitan dan penderitaan yang diakibatkan oleh defendan boleh dituntut oleh pewaris walaupun seseorang itu (yang sakit dan menderita diakibatkan oleh defendan) telah mati. Dengan syarat mati adalah tidak segera (non-instantaneous death): lihat kes Mariah bte Mohamed v Abdullah bin Daud [1990] 1 MLJ 240 dan Takong Tabari v Government of Sarawak [1996] 2 CLJ 1068.

4. Ini bermakna jika kematian adalah segera (instantaneous death) hak untuk menuntut bagi kesakitan dan penderitaan oleh simati bagi pewaris adalah tidak wujud.

5. Hak bagi pewaris menuntut gantirugi ini diberikuasa oleh seksyen 8(2) Akta Undang-Undang Sivil 1956. Perkataan ''damages'' adalah cukup luas untuk merangkumi gantirugi am dan gantirugi khas.

6. Seksyen 8(2)(a) Akta Undang-Undang Sivil 1956 adalah memberi kuasa kepada pewaris untuk menuntut kehilangan pendapatan SEBELUM simati meninggal. Dengan kata lain kehilangan pendapatan SELEPAS simati meninggal tidak boleh dikira.

7. Ini bermakna Seksyen 8(2)(a) menghadkan maksud ''gantirugi''(damages) yang luas yang ada dalam seksyen 8 (2).

Wednesday, March 3, 2010

Sungai Kg Serating

1. Seperti yang saya ceritakan dalam posting ''Berhari Raya Di Kg Serating'' saya menceritakan tentang keindahan pantai dan sungai kampung saya.

2. Sungai Kg Serating adalah sungai berair masin. Ia adalah bebas dari didiami oleh sang buaya. Sepanjang hayat saya mengenali sungai Kg Serating tak pernah ada kes pengguna sungai Kg Serating dibaham buaya kerana sungai memang tidak di diami oleh buaya.

3. Saya sempat berakit bersama Mat Iman iaitu anak saudara saya ke tengah sungai. Saya dapati sudah ada rumah terapung yang dibina untuk memelihara ikan-ikan sungai.

4. Adik ipar saya ada menyuluh ketam nipah pada malam hari. Kadang-kadang beliau pulang dengan 5 dan 6 ekor ketam nipah.

6. Di samping itu pada musim nipah kita boleh makan buah nipah. Saya pernah makan nipah muda hingga sakit perut!

7. Pucuk nipah muda pula boleh dibuat rokok daun digulung dengan tembakau jawa. Daun nipah pula boleh dibuat atap rumah atau bangsal di kebun atau ladang.

8. Saya masih ingat saya diajar makan buah bakau di paya bakau tepi sungai. Buahnya yang antara muda dan tua dikumpul kemudian dibuang kulitnya guna kaca dan botol yang pecah. Kemudian buah bakau yang telah dibuang kulit direbus. Kemudian di makan dengan kelapa parut campur gula.

9. Satu lagi aktiviti di paya bakau dan nipah sungai Kg Serating adalah aktiviti mencari lokan. Lokan adalah spesis hidupan seperti kerang, tiram, lala, kepah dll. Tetapi spesis ini lebih besar sikit.

10. Saya juga masih ingat di masa saya kecil saya mencari kepah dan kerang di sungai Kg Serating. Hasil carian dijual di pasar Jumaat Kg Rusila.

11. Sekarang ini ada tanah di tepi Jalan Dungun-K.Terengganu untuk dijual seluas 3.5 ekar dengan harga RM450,000.00 Tanah ini stategik untuk pembangunan lot banglo dengan anggaran keuntungan 80% hingga 100% memandang berhampiran lokasi tepi jalan dan kawasan istirehat sungai Kg Serating dan pantai Kg Serating. Kepada yang berminat boleh menghubungi no ini 0139487856.

Rohan
Kuala Lumpur
Via Nokia E90

Saturday, February 27, 2010

Rusila: Nadi Kekuatan PAS

(kelihatan peniaga dan pengunjung Rusila pada hari Jumaat tekun mendengar kuliah oleh TG Hj Hadi)

1. Jikalah dikatakan kekuatan Pakatan Rakyat itu tonggaknya adalah PAS.

2. Maka tonggak kekuatan PAS itu terletak pada Presidennya; Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi.

3. Manakala kekuatan Presiden pula terletak pada parlimen Marang.

4. Kekuatan parlimen Marang pula terletak pada Rusila.

5. Inilah nadi yang mengerakkan darah-darah perjuangan kepada kader-kader pelapis PAS.

6. Kader-kader inilah yang menjadikan perjuangan PAS relevan dan semakin hari semakin bermakna di persada politik tanahair.

7. Rusila ini tidak asing kepada proses pembesaran saya.

8. Semenjak dari kecil hinggalah kini ia adalah aktiviti hujung minggu saya jika bercuti di Terengganu.

9. Di samping masjid yang boleh memuatkan jemaah antara 4000 hingga 6000 orang pada satu masa. Ia juga mempunyai kawasan perniagaan yang menempatkan antarta 500 hingga 800 gerai kecil.

10. Jika purata satu gerai boleh menarik transaksi jualan antara RM200 maka jumlah transaksi yang berlaku setiap jumaat antara RM100,000 hingga RM200,000. Satu bulan hampir mencecah transaksi RM800,000

11. Di Rusila juga di adakan program-program besar seperti Ijtimak Sedunia.

12. Tak mustahil suatu hari nanti PAS akan kembali memerintah Terengganu. Nadi dan pencetus kepada kemenangan ini adalah Rusila..

Rohan
Masjid Rusila
Via Nokia E90

Monday, February 22, 2010

BN BAHTERA BOCOR?


(Klip video menunjukkan ketegangan antara penyokong PAS dan BN di pilihanraya kecil Bagan Pinang. Keputusan pilihanraya berpihak kepada BN: Video dirakam oleh saya)


1. Mana lebih selamat bahtera yang sedang bocor atau pelampung kecil ketika berada di laut dalam yang bergelora?

2. Bahtera bocor masih boleh ditampung tetapi pelampung kecil belum tentu boleh membawa orang yang karam ke daratan dengan selamat..

3. Begitulah tajuk HARAKAH pada 22-25 Febuari 2010 "BN BAHTERA BOCOR".

Sunday, February 21, 2010

Liangji Mixian

1. Dalam posting yang lepas saya berbicara pasal makanan tradisi Iban di Sarawak.

2. Sekarang saya ingin mengajak saudara-saudari merasai kesedapan makanan tradisi Cina Islam Yunan/Huigur iaitu: ''Liangji Mixian''.

3. Liangji Mixian bermaksud ''mee ayam''.

4. Terus terang saya katakan bahawa saya bukanlah peminat mee. Agar sukar saya menghabiskannya. Mulut saya sukar menerimanya.

5. Tetapi apabila saya merasai Liangji Mixian, saya dapat menghabiskan semangkuk penuh.

6. Meenya cukup lembut dan lazat. Dicampur dengan pedas yang munasabah dan rasa ayam. Sekali lagi meenya cukup-cukup lembut.

7. Sepanjang saya berada hampir 15 tahun di KL saya tidak pernah berjumpa makanan Huigur (baca:wee gur) yang lazat di mana-mana tempat di KL.

8. Saya adalah cerewet tentang makanan. Tapi pada petang ini saya dapat menikmati satu makanan yang lazat di Mahallat Ali, UIAM Gombak.

9. Anda harus tahu bahawa mee huigur tidaklah sama dengan mee yang berada di pasaran di Malaysia.

10. Meenya dibuat secara tradisi dengan menganyam tepung hasil ramuan asli Cina Islam Huigur. Mereka dari Tanah Besar Cina.

11. Di samping ''Liangji Mixian'', anda juga boleh dapati ''Guoqiao Mixian'' , ''Chaomian'' ''Banmian'' dan ''Chaomiantiao'' di gerai Cina Islam ini.

12. Harganya sangat murah hanya RM6.00 semangkuk!

Rohan
Mahallah Ali
Via Nokia E90