Thursday, July 29, 2010

Projek! Projek! Projek!

1. Kata bidalan Melayu "bunyi guruh di langit, air dalam tempayan dituangkan". Itulah yang kena pada kita apabila begitu ghairah ingin menerkam projek mega yang menjanjikan habuan besar.

2. Sebagai peguam tidak sedikit saya bertembung dengan situasi ini kerana bagi menutup rundingan (close the deal) dokumen-dokumen guaman perlu disediakan.

3. Kadang-kadang mereka yang ingin mengejar projek mega ini memandang ringan kepada dokumen-dokumen yang disediakan oleh peguam. Tidak ada pun tidak apa. Bagi mereka dokumen-dokumen tersebut, jika adapun, adalah syarat sampingan yang hanya bagi melengkap keperluan yang tidaklah diperlukan sangat.

4. Apabila masalah telah timbul barulah tergadah dan terpinga-pinga. Hendak rujuk dokumen guaman tidak ada. Jika adapun tidak ada klausa yang berpihak kepada mereka atau menjelaskan situasi yang mereka hadapi.

5. Saya pernah belajar dari seorang peguam senior (seorang Datuk) yang juga merupakan 'bos' saya. Kata beliau, "Rohan, jangan terlibat dengan perniagaan anakguam kita. Kita hanya menasihati mereka berkenaan hal-hal guaman sahaja." Memang nasihatnya benar. Berdasarkan pengalaman. Bahkan etika guaman juga menghalang peguam dari terlibat dalam memasuki kepada kepentingan anak guam. Ini boleh menyebabkan pertembungan kepentingan.

6. Kalaulah 'venture' perniagaan anakguam itu gagal, peguam tetap memperolehi yuran guaman yang terlebih dahulu telah dikenakan. Kalau berjayapun, peguam tidak ada apa yang rugi kerana yuran guaman telah terbayar.

7. Tetapi kadang-kadang mereka yang ingin mengejar projek mega ini tidak mempunyai duit untuk membayar yuran guaman, maka sebagai galangnya ialah dengan menawar ekuiti dalam 'venture' mereka. Di dalam situasi ini, peguam menanggung antara dua risiko (pertama) etika guaman telah tergadai (kedua) yuran guaman mereka belum terjelas!.

8. Saya mendapat ilham dalam situasi-situasi projek mega ini seperti berikut: "Adalah lebih baik membuat 'closing' projek kecil-kecil, daripada mengejar projek-projek mega yang tidak dapat dibuat 'closing'.

9. Mengejar projek-projek mega ini membuatkan kita tidak dapat tidur malam. Terkenangkan angka-angka kosong yang mencecah 6 bahkan kadang-kadang 9 angka kosong!

10. Orang Arab mencipta sistem nombor membuatkan kita tak keruan kerana nilainya tak berhenti. Terkira-kira sehingga dalam mimpi!

11. Mimpi-mimpi mengasyikkan ini membuatkan "apa yang dikendung berciciran dan apa yang dikejar tak dapat".

12. Apapun selalu saya ingat bahawa saya dapat menawan besi yang ditakuti (lihat: saya dan besi..)bukan kerana mengejar projek-projek mega, tetapi dengan melakukan kerja guaman secara tekun...


No comments:

Post a Comment