Monday, February 2, 2009

Nabi Muhammad pandai menulis?

1. Lebih setahun lalu saya telah meneliti hadis ke 5877 dalam Sahih Bukhari dalam Kitab al-Libas.

2. Hadis itu (matan), dalam bahasa Melayu, berbunyi seperti ini: "Daripada Anas bin Malik r.a.: Sesunguhnya Rasulullah s.a.w telah mengambil sebentuk cincin daripada perak, dan mengukir padanya : Muhammad Rasulullah, dan baginda bersabda: Sesungguhnya aku telah mengambil sebentuk cincin daripada perak dan aku mengukir padanya: Muhammad Rasulullah, maka tidak akan mengukir seseorang pun di atas ukirannya".

3. Bahagian yang menimbulkan kekeliruan kepada saya ialah "Sesungguhnya aku telah mengambil sebentuk cincin daripada perak dan aku mengukir padanya: Muhammad Rasulullah". Di dalam bahasa Arabnya berbunyi "Waatakhaztu khatiman min wariqin wa naqashtu fi hi: Muhammad Rasulullah."

4. Matan berkenaan menyebut di atas gantinama pertama iaitu "Waatakhaztu" (Aku mengambil) dan naqashtu (aku mengukir). Ia tidak boleh dibaca dengan nuqishat (Diukir) kerana ada wau 'ataf.

5. Jadi dengan membaca matan hadis ini sahaja, timbul kekeliruan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. boleh mengukir (dalam kontek hadis ini ialah boleh menulis).

6. Ini bertentangan dengan penegasan al-Qur'an bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu seorang yang ummi (an-Nabiyyul Ummie). Iaitu tidak pandai menulis dan membaca.

8. Persoalan di atas pernah diajukan kepada mufti sebuah kerajaan di Malaysia, yang dikatakan pakar dalam ilmu hadis, sebanyak dua kali tetapi tiada jawapan.

9. Akhirnya saya disarankan melihat tafsir hadis dalam Fathul Bari Syarh Sohih al-Bukhari, oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqolani.

10. Saya bergantung kepada Fathul Bari Syarh Sohih al-Bukhari Juzuk 10 Keluaran Dar al-Kitab Ilmiyyah muka surat 402. Ditahqiq oleh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz dan Muhammad Fuad Abdul Baqi.

11. Ibnu Hajar telah bergantung kepada satu hadis yang diriwayatkan ad-Darulqutni di dalam ((al-Ifrad)) dari Salmah Bin Wahraam dari Ikrimah dari Ya'la Bin Umayyah berkata ((Aku membuat kepada Nabi Muhammad s.a.w sebentuk cincin. Tidak akan mengikut aku seorang pun, diukir padanya "Muhhamad Rasulullah)).

12. Hadis ke 5877 dalam Sohih Bukhari bukanlah sebuah hadis yang berdiri dengan sediri (stand alone). Ia kena ditafsir bersama dengan hadis dalam al-Ifrad oleh ad-Darulqutni yang menjelaskan bahawa Ya'la Bin Umayyah yang mengukir tulisan "Muhammad Rasulullah".

13. Saya kemudian merujuk kepada kitab Al-Ishobah Fi Tamyyizuz Sohabah juga oleh Ibnu Hajar al-Asqolani untuk mencari siapakah rijal hadis yang hadis ini disandarkan.

14. Al-Isobah menyebut dalam no 9493 bahawa Ya'la bin Umayyah adalah seorang sohabat.

15. Dengan itu saya percaya permasalahan yang pernah menghantui saya telah terjawab. Bahawa yang mengukir perkataan "Muhammad Rasulullah" pada cincin perak yang menjadi cop mohor rasmi kepada surat-surat perutusan kepada ketua-ketua negara pada zaman Nabi Muhammad s.a.w adalah diukir oleh Ya'la Bin Umayyah.

16. Oleh itu tertutup pintu fitnah untuk mengatakan Nabi Muhammad s.a.w boleh menulis. Beliau memang benar-benar seorang "ummi" (tidak pandai menulis dan membaca). Jika zahir hadis 5877 Sohih Bukhari difahami Nabi Muhammad s.a.w boleh mengukir (menulis) maka terbuka pintu fitnah iaitu al-Qur'an ditulis oleh NAbi Muhammad s.a.w. Di situ bahaya yang ditakuti.

1 comment:

  1. tq for the nice question.i'm not sure about the insurance..but my intention joining the degree nursing is to minimize the medical negligence. nurse kan front liner jugak. jika hanya ikut cakap doktor, kalau doktor buat salah, xboleh jadi advocator utk patient. pasal saman tu, x kisah la..sekarang ni, for the sake the patient's quality of life =) nice job, hopefully we can share the knowledge

    ReplyDelete