Saturday, July 31, 2010

Thursday, July 29, 2010

Projek! Projek! Projek!

1. Kata bidalan Melayu "bunyi guruh di langit, air dalam tempayan dituangkan". Itulah yang kena pada kita apabila begitu ghairah ingin menerkam projek mega yang menjanjikan habuan besar.

2. Sebagai peguam tidak sedikit saya bertembung dengan situasi ini kerana bagi menutup rundingan (close the deal) dokumen-dokumen guaman perlu disediakan.

3. Kadang-kadang mereka yang ingin mengejar projek mega ini memandang ringan kepada dokumen-dokumen yang disediakan oleh peguam. Tidak ada pun tidak apa. Bagi mereka dokumen-dokumen tersebut, jika adapun, adalah syarat sampingan yang hanya bagi melengkap keperluan yang tidaklah diperlukan sangat.

4. Apabila masalah telah timbul barulah tergadah dan terpinga-pinga. Hendak rujuk dokumen guaman tidak ada. Jika adapun tidak ada klausa yang berpihak kepada mereka atau menjelaskan situasi yang mereka hadapi.

5. Saya pernah belajar dari seorang peguam senior (seorang Datuk) yang juga merupakan 'bos' saya. Kata beliau, "Rohan, jangan terlibat dengan perniagaan anakguam kita. Kita hanya menasihati mereka berkenaan hal-hal guaman sahaja." Memang nasihatnya benar. Berdasarkan pengalaman. Bahkan etika guaman juga menghalang peguam dari terlibat dalam memasuki kepada kepentingan anak guam. Ini boleh menyebabkan pertembungan kepentingan.

6. Kalaulah 'venture' perniagaan anakguam itu gagal, peguam tetap memperolehi yuran guaman yang terlebih dahulu telah dikenakan. Kalau berjayapun, peguam tidak ada apa yang rugi kerana yuran guaman telah terbayar.

7. Tetapi kadang-kadang mereka yang ingin mengejar projek mega ini tidak mempunyai duit untuk membayar yuran guaman, maka sebagai galangnya ialah dengan menawar ekuiti dalam 'venture' mereka. Di dalam situasi ini, peguam menanggung antara dua risiko (pertama) etika guaman telah tergadai (kedua) yuran guaman mereka belum terjelas!.

8. Saya mendapat ilham dalam situasi-situasi projek mega ini seperti berikut: "Adalah lebih baik membuat 'closing' projek kecil-kecil, daripada mengejar projek-projek mega yang tidak dapat dibuat 'closing'.

9. Mengejar projek-projek mega ini membuatkan kita tidak dapat tidur malam. Terkenangkan angka-angka kosong yang mencecah 6 bahkan kadang-kadang 9 angka kosong!

10. Orang Arab mencipta sistem nombor membuatkan kita tak keruan kerana nilainya tak berhenti. Terkira-kira sehingga dalam mimpi!

11. Mimpi-mimpi mengasyikkan ini membuatkan "apa yang dikendung berciciran dan apa yang dikejar tak dapat".

12. Apapun selalu saya ingat bahawa saya dapat menawan besi yang ditakuti (lihat: saya dan besi..)bukan kerana mengejar projek-projek mega, tetapi dengan melakukan kerja guaman secara tekun...


Wednesday, July 21, 2010

PAS: FORMULA KE PUTRAJAYA

1. Dilhamkan dari buku "The Road To Mecca" oleh Muhammad Assad seorang Yahudi yang memeluk Islam saya menganalisa secara ringkas "Formula Ke Putrajaya" untuk PAS.

2. Secara ringkasnya saya menemui 5 formula untuk PAS ke Putrajaya. Ia disimpulkan secara formula "campur" atau "kerjasama" atau "usahasama" seperti berikut:-
'class=
i. Ex-Semangat 46 + PKR + DAP + PAS ----> PUTRAJAYA

ii. Pakatan Rakyat + PAS------> PUTRAJAYA

iii. BN + Pakatan Rakyat -----> PUTRAJAYA

iv. BN + PAS ------> PUTRAJAYA

v. Umno + PAS ------> PUTRAJAYA


3. Bagi formula "i. Ex-Semangat 46 + PKR + DAP + PAS ----> Putrajaya" : Pakatan Rakyat perlu mengorat Ex-Semangat 46 untuk menyertai PR. Sebenarnya ketika krisis Anwar-Mahathir memuncak Dr Mahathir secara bijaksana telah mengorat Semangat 46 di bawah Ku Li untuk menyertai semula Umno. Apabila ahli-ahli Semangat 46 diketuai Ku Li menyertai Umno secara en bloc maka Dr Mahathir baru menyinkir Anwar. Sejak peristiwa penyingkiran hingga kini Umno masih berkuasa dalam pentadbiran Persekutuan. Kalaulah Semangat 46 itu tak termakan pujuk-rayu Dr Mahathir saya percaya dengan rakyat marhain digembleng oleh Semangat 46 dan juak-juak Anwar maka BN (Umno) akan kehilangan kuasa di Persekutuan.

4. Bagi formula "ii. Pakatan Rakyat + PAS------> PUTRAJAYA": Formula ini adalah formula konservatif iaitu PAS harus setia dengan komponen-komponen PR. Bagi anti-formula ini mereka dikatakan diketuai oleh Presiden PAS. Manakala bagi penyokong formula ini dikatakan diketuai oleh Mursyid Am PAS. Tetapi keputusan pilihanraya ke-12 menunjukkan formula ini hanya memungkinkan PAS menguasai beberapa negeri sahaja. Tidak Kerajaan Persekutuan.

5. Bagi formula "iii. BN + Pakatan Rakyat -----> PUTRAJAYA": Fomula ini agak drastik dan agak ideal. Hanya satu parti akan wujud. Seperti negara komunis China dan Russia. Hanya satu parti memerintah. Kuasa akan menjadi tertumpu dan memberi kesan yang tidak baik kepada rakyat.

6. Bagi formula "iv. BN + PAS ------> PUTRAJAYA": Formula ini agak sensitif. Formula inilah yang menjadi tajuk perbahasan hangat dimedia-media lama dan baru. Ada usaha-usaha ke arah ini secara bawah tanah. Saya dalam beberapa tulisan saya pro-kepada formula ini. Kerana amatlah mustahil untuk memujuk Anwar yang telah merajuk dengan BN memasuki semula BN. Manakala DAP pula menjadi tidak bermakna jika bersama BN.

7. Bagi formula "v. Umno + PAS ------> PUTRAJAYA": Formula ini adalah juga ideal bagi kesatuan Melayu/Islam. Umno harus keluar BN. PAS harus keluar Pakatan Rakyat. Maka ia memberi impak yang sangat besar kepada kesatuan Melayu.

8. Oleh itu pengerak-pengerak diplomasi antara PAS dan Umno tidak harus melihat kepada satu formula sahaja yang boleh berlaku. Sebenarnya ada 4 lagi formula yang harus dinilai dan diterokai.

9. Kepada mereka yang berwawasan dalam PAS ingin membawa parti itu kepada PUTRAJAYA mereka harus meneroka formula-formula ini. PAS duduk atas kerusi empuk di PUTRAJAYA bukanlah mimpi mat jenin.

10. Seakhirnya, PAS harus menyenarai apakah target mereka jika berjaya ke PUTRAJAYA. Kerusi-kerusi yang manakah mereka ingin tawan di PUTRAJAYA. Mungkin tajuk ini kita perbincangkan di arena lain. Sekian.




Monday, July 19, 2010

PENGHIJARAHAN(EXODUS) MELAYU KEPADA PAKATAN RAKYAT

1. Penghijrahan disinonimkan dengan berpindahnya Nabi Muhammad s.a.w. bersama pengikutnya dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada 622 AD.

2. Manakala "exodus" pula disinonimkan dengan penghijrahan Bani Israel dari Mesir menuju Palestine serta dari beberapa negara menuju ke beberapa negara dalam era moden ini.

3. Kajian-kajian menunjukkan penghijrahan mengukuhkan sesuatu bangsa dan mematangkan sesuatu bangsa.

4. Ini dapat dilihat apabila Nabi Muhamad s.a.w berhijrah bersama pengikutnya beberapa tahun selepas itu telah berjaya menawan Kota Mekah.

5. Manakala Bani Israel pula telah menjadi umat yang sangat berpengaruh di dunia walaupun mereka minoriti.

6. Dalam konteks bangsa Melayu, Sultan Mahmud apabila diperangi oleh bangsa Portugis beliau telah berhijrah ke Johor bersama pengikut-pengikutnya dan telah membina tamadun Melayu di beberapa tempat selepas itu.

7. Dalam era kepartian Melayu, orang Melayu pernah memberi sokongan mutlak kepada Umno. Tapi kini ada bunga-bunga bahkan sudah berbuah apa yang kita katakan penghijrahan (exodus) Melayu kepada Pakatan Rakyat.

8. Saya percaya ada beza antara penghirahan Melayu "ke dalam" Pakatan Rakyat. Ke dalam bermaksud mereka menyertai parti. Manakala kepada memberi maksud Melayu memberi sokongan kepada PR. Juga boleh merangkumi Melayu menyertai parti PR.

9. Ia dengan slogan, pada awalnya, "Kita keluar barisan, kita masuk bulatan". Dan "Dulu Umno, Sekarang PAS". Lantas dijawab "Umno dulu, kini dan selama-lamanya".

10. Pasca pilihanraya ke-12 menyaksi kenyataan bahawa Melayu telah memberi sokongan hampir 49% kepada PR. Ini menyebabkan parti tertua Melayu kehilangan beberapa negeri.

11. Antara yang menjadi alasan kenapa Melayu berhijrah kepada parti komponen PR adalah kerana parti Umno menjadi elitis dan kepincangan di dalam pentadbiran negara.

12. 49% di dalam PRU ke-12 tidak memadai paling kurang 60% - 70% maka barulah penghijrahan atau exodus Melayu kepada PR. Kita tunggu dan lihat di dalam PRU ke-13.

Sunday, July 18, 2010

Hasrat PAS ke Putrajaya akan termakbul?















1. PAS nampaknya semakin yakin pusat pentadbiran Persekutuan bakal ditakluk.

2. Kabinet bayangan pun sudah beredar di ruang siber.

3. Kata nista terdahulu tentang kebencian Putrajaya sudah dilupakan. "Kita akan lelong Putrajaya !" kata seorang pemimpin muda ketika berceramah di Taman Melewar. "Dr Mahathir pun kita akan lelong" retoriknya sekali lagi. Kata-kata ini masih terngiang di gegendang telinga saya.

4. Ah! Lupakan omokan dulu. Dulu lain. Sekarang lain. Dulu kita tidak pernah bermimpi hendak ke Putrajaya. Sekarang sekutu kita kuat. PKR kuat. DAP pun kuat.

5. Pilihanraya ke-13 semakin hampir. Banyak ramalan-ramalan telah dibuat. Hanya sotong "Paul" sahaja tidak diguna bagi meramal.

6. Orang bijak dari UNIMAS baru-baru ini dilapor oleh Bernama bahawa hasrat PR (payung gagasan yang PAS bernaung) untuk ke Putrajaya mungkin terhalang kerana Borneo masih setia dengan BN.

7. PRK Sibu bukan penentu bahawa PR sudah bertapak di Sarawak kata penganalisa itu. Begitu juga PRK Hulu Selangor bukan bermaksud PR hilang kuasa di semenanjung kata blogger PAS. Jika begitu kedudukan 50:50 kata saya.

8. Jika dulu agak cerah 70:30 ketika Abdullah memegang tampuk negara. Tapi kini era Najib agak berkerja keras.

9. 1Malaysianya cukup liat. Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan. Agenda "rakyat" ditiru dari agenda "Ketuanan Rakyat" PR. Apalagi lagi yang hendak diperjuangkan oleh PR?

10. Bagi PAS yang ada hanya doa dan usaha. Adakah hasrat PAS untuk ke Putrajaya akan termakbul?

Tuesday, July 13, 2010

Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 menunjukkan taringnya...

1.Printing Pressess And Publications Act 1984 atau Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 (PPP 1984) sudah menunjunjukkan taringnya. Di mana kuasa Menteri yang disifatkan mempunyai 'absolute discretion' Seksyen 3 (3) PPP 1984 menunjukkan ianya tidak boleh disemak oleh Mahkamah.

2. "Penerbitan Harakah tamat permitnya pada 7 Julai lalu dan belum diperbaharui oleh kementerian hingga kini." lapor Harakahdaily.net: 14.7.2010

3. Malaysiakini pula melaporkan "Malaysiakini juga difahamkan akhbar DAP versi Inggeris berakhir bulan lalu manakala lesen untuk edisi versi Melayu dan Cina, masing-masing berakhir pada September dan November, tahun lalu.": Malaysiakini: 14.7.2010

4. Manakala The Malaysian Insider pada pada hari ini pula melaporkan bahawa "KDN perbaharui permit Harakah dengan amaran keras".

5. Dengan kuasa yang mutlak (absolute discretion) oleh Menteri yang diberi oleh PPP 1984 menyebabkan fikrah rakyat diacu oleh parti politik yang memenangi pilihanraya secara majoriti.

6. Boleh dihujahkan bahawa mandat majoriti rakyat kepada sesuatu parti politik mahukan fikrah mereka diacu sebagaimana yang mereka mahu.

7. Boleh saja dihujahkan bahawa "kuasa budibica mutlak" Menteri boleh disalahguna tetapi undang-undang telah memperuntukkan begitu.

8. Walupun setakat ini menunjukkan bahawa PPP 1984 hanya berkuatkuasa kepada cetakan secara fisikal (maksud saya: bukan bahan-bahan sebaran fikrah dalam internet) ada dihujahkan bahawa peruntukan Seksyen 1 (c) PPP 1984 "anything which by its form, shape or in any manner is capable of suggesting words or ideas" boleh diperluaskan kepada bahan internet.

9. Jikalah berlaku sebegitu kita akan lihat PPP 1984 sudah tidak sesuai dengan masa kerana adalah tidak praktikal PPP 1984 diperluaskan kepada sebaran internet . Alasan mudah bagaimana boleh setiap sebaran internet memerlukan kelulusan Menteri jika sesuatu maklumat hanya disebarkan dengan satu klik sahaja?

10. Boleh jadi sebab inilah pihak berkuasa menggunakan Akta Multimedia bagi kesalahan sebaran internet setakat ini.



Monday, July 12, 2010

KERJASAMA PAS DENGAN KOMPENAN PAKATAN RAKYAT PERLU DINILAISEMULA?

1. Ajakan Umno untuk bersatu dengan PAS atas dasar agenda Melayu/Islam dipersoalkan sekali lagi oleh Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad. Baginya seruan untuk perpaduan oleh Umno itu bermotifkan keduniaan dan materialistik yang telah hilang dari Umno.

2. “Masuk Umno kerana projek dan ‘mengalibabakan’ khazanah negara sehingga perjuangan bangsa tergadai. Sekarang apabila banyak projek sudah tidak ada khususnya di Selangor yang dianggap lubuk emas, maka pemimpin Umno cuba bercakap soal perjuangan bangsa dan perpaduan Melayu untuk menarik kembali sokongan rakyat di negara ini, dan cuba menjadi umpan perpaduan untuk menimbulkan keraguan di kalangan Pakatan Rakyat,” ujar Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat : Harakahdaily; 13.7.2010.

3. Persoalannya adakah PAS ingin bersatu atas Melayu/Islam sekiranya Umno betul-betul ikhlas? Atau hanya memberi alasan serta mempersoalkan niat Umno yang tidak murni kerana sudah selesa dengan Pakatan Rakyat?

4. Manakala Datuk Mahfuz Omar Naib Presiden PAS pula berkata “Retreat kami kali ini menyimpulkan bahawa sokongan Melayu kepada PAS merosot tidak berbangkit sama sekali, kami mendapati tiada asas langsung untuk mengatakan sokongan orang Melayu sudah merosot hanya kerana kerjasama dalam Pakatan Rakyat... tiada fakta dan tiada hujah kuat dalam hal ini,” : The Malaysian Insider; 13.7.2010

5. Saya berpendapat Datuk Mahfuz memberikan pandangan beliau selepas merujuk kepada data-data yang dikemukakan oleh pasukan think-thank PAS.

6. PAS harus mempunyai alsan kukuh untuk bicara pasal political marriage. Satu fokus kepada perpaduan Melayu/Islam bagi PAS adalah tidak cukup. Walaupun Presidennya sendiri pernah mengutarakan gagasan “Kerajaan Perpaduan”. Tiada huraian lanjut dengan siapakah Kerajaan Perpaduan itu dimaksudkan. Ia boleh ditafsirkan bahawa perpaduan dengan komponen-kooponen Pakatan Rakyat yang sedia ada.

7. PAS juga berhak untuk mencari jawapan ini: Adakah dengan tidak duduk semeja dengan Umno agenda Melayu/Islam akan tergadai? Saya percaya tidak.

8. Alasan pertama adalah PAS sebuah parti yang ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan adalah tertakluk dengan undang-undang sedia ada seperti Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang kita telah maklum bahawa Melayu/Bumiputera telah diberi hak istimewa dalam undang-undang tertinggi negara ini. PAS mempunyai tanggungjawab untuk memikul Perlembagaan Persekutuan disamping memikul dasar-dasar Islam yang ada dalam perlembagaan parti itu sendiri.

9. Pimpinan-pimpinan dan ahli PAS berhak untuk mempersoalkan keikhlasan Umno dan menyelidiki gagasan Kerajaan Perpaduan jika ia dimaksudkan dengan Umno.

10. PAS tidak perlu takut dengan melompatnya pengundi Melayu kepada koponen Pakatan Rakyat yang bukan Melayu. Ini bukan sahaja atas alasan parti bukan Melayu berkenaan adalah komponen Pakatan Rakyat yang sudah pasti menjunjung terma-terma kerjasama tetapi PAS juga akan mendapat swing pengundi Melayu yang sudah exodus kepada parti Melayu/Islam kedua terbesar;PAS dengan keputusan bahawa PAS hendaklah bertanding bersemuka dengan Umno bagi merebut pengundi Melayu/Islam.

11. Ia bukan persoalan membelanjakan dana yang besar bagi membiayai peperangan politik antara gergasi politik Melayu/Islam tetapi ia lebih kepada isu parti yang manakah lebih popular kepada hati rakyat dengan pelbagai agenda antaranya, tetapi tidak terhad kepada, ketelusan, lebih dekat kepada rakyat, dan lain-lain.

12. Di sini kita lihat Umno yang lebih memerlukan PAS lebih dari PAS memerlukan Umno. Oleh itu Umno harus mempunyai alasan yang lebih kukuh selain dari isu Melayu/Islam bagi mengorat PAS bagi satu kerjasama perpaduan.

Sunday, July 11, 2010

PERAK TETAP MILIK MELAYU/ISLAM

"12. Appointment of Mentri Besar.

( 1 ) His Royal Highness shall appoint by instrument under his sign manual and State Seal, a Menteri Besar pursuant to paragraph (a) of Clause 2 of Article 16.

(2) No person shall be appointed to be Mentri Besar unless he is of the Malay race and professes the Muslim Religion:

Provided that His Royal Highness may in His discretion waive either or both of the foregoing requirements of this paragraph relating to race and the Muslim Religion whenever he shall consider it expedient so to do."

*******************************************************************

1. Mutakhir ini ada beberapa blog yang membincangkan ketakutan bahawa kuasa Melayu akan terhakis bahkan tamat dengan terlantiknya Menteri Besar dari kalangan orang bukan Melayu/Islam dengan merujuk kepada kes klasik krisis perlembagaan Negeri Perak selepas pilihanraya ke-12.

2. Ketakutan ini adalah "ketakutan yang tidak berasas" (irrational anxiety) kerana jika dirujuk kepada cebisan Perkara 12 (2) Perlembagaan Negeri Perak yang memperuntukkan bahawa Menteri Besar Perak hendaklah dari kalangan Melayu/Islam.

3. Walaupun Perkara 12 juga memberi kuasa budibicara kepada Sultan Perak untuk mengenepikan (waive) pra-syarat di atas. Kita dapat faham bahawa budibicara Sultan adalah tertakluk kepada pra-syarat "expedient so to do".

4. "Expedient so to do" bermaksud "perlu untuk berbuat sedemikian". Sultan harus memenuhi pra-syarat pengecualian tersebut (Melayu/Islam) jika mahu mengenepikan syarat di bawah Perkara 12 (2).

5. Kuasa Sultan dalam mengenepikan pra-syarat di bawah Perkara 12 (2) adalah terhad dengan pra-syarat "perlu untuk berbuat sedemikian". Jika tidak, pengenepian pra-syarat di bawah Perkara 12 (2) adalah satu percanggahan dengan Perlembagaan Negeri Perak.

6. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa Menteri Besar Perak selama-lamanya adalah dari Melayu/Islam.

7. Ketakutan kedua adalah tentang Melayu/Islam yang berpecah kerana pelbagai parti. Ketakutan ini dijelas di dalam sebuah blog oleh blogger yang penuh kontroversi; Kickdefella.

8. Beliau berkata sebegini :-

"Negeri Perak adalah satu kes klasik untuk melihat bagaimana sebuah negeri yang pembahagian politiknya menunjukkan kukuhnya kedudukan Melayu, tetapi runtuhnya penguasaan Melayu kerana perpecahan sesama Melayu."

9. Saya tidak mahukan umpamakan ketakutan di atas sebagai "ketakutan yang tidak berasas" kerana boleh jadi penguasaan majoriti Melayu/Islam di Perak dihumban ke dalam longkang politik yang kotor dan penuh kebencian terhadap sesama Melayu/Islam dengan memberi kuasa pindaan Perlembagaan Negeri Perak dan/atau meluluskan sesuatu undang-undang negeri di bawah kuasa Perlembagaan Negeri dan/atau apa-apa keputusan DUN dengan berpihak kepada anti-Melayu/Islam.

10. Tetapi ketakutan di para 9 adalah sangat subjektif. Oleh itu ia tidak perlu spekulatif.

11. Ada benarnya juga apa yang dikatakan Prof Madya Dr Azmi Sharom, pensyarah undang-undang Universiti Malaya:-

"Sebenarnya tidak ada apa-apa, itu hanya untuk menakutkan orang Melayu sahaja kerana tidak mungkin kaum terbesar di negara ini boleh menjadi minoriti di negara sendiri.

"Kalau kita lihat secara realistiknya, orang Melayu masih lagi menjadi majoriti dalam semua aspek jadi mustahil untuk menjadi minoriti," katanya.

"Hanya orang yang terdesak sahaja yang akan mengeluarkan kenyataan begitu dan ini menunjukkan beliau (Mahathir) masih belum matang dalam berfikir." - (Malaysian Insider, 17 Jun 2010).
[Dipetik dari blog Dr Mahathir Mohamad]

11. Pada pendapat saya Kickdefella hanya membuat satu pengesahan kepada tulisan Dr Mahathir yang telah menulis di blog Che Det. Itu sahaja.

12. Kebenarannya adalah disangsikan oleh saya sebagaimana Dr Azmi sangsikan...

SHAMS: KAMI BOLEH!

1. Gambar terkini Oslan (Imam Muda, Masjid Wilayah) bersama ex-GB SHAMS dan ex-PK SHAMS di dalam facebook menyebabkan beberapa rakan saya dan saya sendiri terasa demam dek rindu kepada kenangan lama yang mengimbau di Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu (SHAMS).

2. Lantas bagi mengubati kenangan dan rindu itu kami telah merancang bertandang ke BB Salak Tinggi, rumah bekas guru besar pertama SHAMS, Tuan Hj Ibrahim Mohd.

3. Setelah berkumpul di tol Nilai, kami menuju ke BB Salak Tinggi. Akhirnya sampai di kawasan perumahan elit. Dan disambut dengan senyum oleh Tuan Hj Ibrahim (atau lebih mesra kami memanggilnya Ustaz Hing).

4. Kebetulan hari itu orang rumah Ustaz Hing balik kampung. Kami yang telah mengetahui perkara ini telah membawa buah tangan masing-masing.

5. Bermulalah perbualan kami berkenaan dengan pendidikan dan falsafah pendidikan. Hinggalah kritik-kritik terhadap pendidikan yang tidak lengkap dalam melahirkan insan kamil.

6. Seterusnya kami bertukar-tukar khabar.

7. Semasa perhimpunan raya di Dewan Utama SHAMS saya dapati ramai dari ex-SHAMS menjadi pendidik. Melainkan sekerat-dua seperti saya, Marhalim dan lain-lain menjadi professional.

8. Dulu topik pendidikan agak saya tidak gemari kerana ia jauh dari saya.

9. Tapi setelah beristerikan seorang pendidik dan kedua-dua abang saya menjadi pengasas kepada pusat pendidikan maka saya harus menjadikan minat dalam pendidikan untuk memahami orang-orang disekeliling saya.

10. Saya tidak nafikan bahawa sekolah-sekolah lain melahirkan kader yang lebih maju dan tinggi daripada SHAMS tetapi harus diingat bahawa SHAMS baru berusia belasan tahun lebih.

11. Saya masih ingat saya yang bersekolah di luar bandar, Sek. Keb. Merchang. 5 orang daripada kami memperolehi 5A dalam PDL(Penilaian Darjah Lima). Dalam lima ini saya sahaja yang berjaya ke sekolah di bandar.

12. Di bandar saya bersaing dengan anak-anak orang yang telah mempunyai tapak kukuh di pekan yang lebih kompetetif berbanding kampung. Apatah lagi ceruk luar bandar.

13. Di situlah SHAMS telah mendidik kami. Ada antara kami yang telah menjadi pakar bedah, peguam, akauntan, YB, ahli politik, pemain bola negeri, jutawan korporat, wartawan, imam dan lain-lain. Yang istimewanya kami boleh membuka buku Arab dan Inggeris serentak. Kami memahami di mana titik pertemuan dua tamadun: Barat dan Islam.

14. Ustaz Hing telah menyentuh kepada produk pendidikan yang anti-sosial. Ada pusat-pusat pendidikan yang melahirkan insan yang tak sempurna.

15. Apa pun saya berpuas hati dengan SHAMS yang telah mencorak saya seperti saya sekarang.

16. Untuk kawan-kawan ex-SHAMS kita lebarkan lagi jaringan persetiakawan kita dan kita kemaskan lagi saf kita. Untuk yang masih menuntut di SHAMS jadikan abang-abang dan kakak-kakak kamu sebagai dorongan.

17. SHAMS boleh!


Friday, July 9, 2010

Raja Petra Yang Saya Kenali...




1. Saya mula mengetahui ada seorang hamba Allah yang bernama Raja Petra lebih kurang 12 tahun dahulu. Ketika itu saya berkhidmat disebuah firma guaman di Kuala Terengganu.

2. Saya mula mengenali beliau apabila firma guaman di mana saya berkhidmat mewakili sebuah bank dalam urusan litigasi dengan syarikat pembinaan milik RPK kalau tak silap saya bernama Petra Bina. Tetapi saya belum berjumpa secara berdepan dengan beliau.

3. Kemudian diera permulaan reformasi beliau telah menjadi kolumnis Harakah. Semasa itu media utama pembangkang adalah surat khabar. Harakah telah dijadikan platform untuk gagasan reformasi.

4. Saya juga kolumnis Harakah diera reformasi kerana ketika itu saya baru menjadi graduan. Saya tidak mengkritik secara jelas polisi kerajaan di dalam Harakah tetapi secara sinis. Mungkin sebab ini saya tidak disumbat di dalam ISA.

5. RPK dan kawan saya bernama "Shabrimi" telah masuk ISA mungkin gara-gara mereka menulis secara berdepan tentang polisi kuku besi pemerintahan rejim Dr Mahathir di ketika itu.

6. Kemudian saya telah pergi ke sebuah majlis hari raya di Taman Melewar. Zulkifli Sulong telah memperkenalkan kepada saya seorang kerabat di Raja. Beliau ialah Raja Petra. Saya lihat seorang yang smart dan berjamban. "Beginilah cara rakyat bawahan makan" kata Zulkifli Sulong. Beliau pernah menawarkan saya satu kolum khas untuk saya dalam Harakah menulis berkenaan undang-undang.

7. Selepas itu saya memerhatikan Raja Petra telah berjuang di arena ruang siber. Sehinggalah beliau membangunkan laman web "Malaysia Today". Nama beliau semakin gah. Manakala saya pula menjadi peguam litigasi. Naik dan turun.

8. Saya pernah terbaca satu artikel dalam Malaysia Today yang mengkritik secara jelas "master" saya di firma guaman Kuala Terengganu. Beliau menyifatkan "ex-master" saya seperti ADUN UMNO di Klang yang sombong. Kalau tidak silap nama beliau "Zakaria".

9. Sekarang saya dapat tahu beliau ke luar negara gara-gara kes dakwaan jenayah terhadap tulisan beliau tentang Altantunya.

10. Saya masih lagi membaca tulisan beliau. Walaupun saya bukan wartawan professional tapi saya tahu batas penulisan. Ada perkara yang saya tahu lebih baik dari beliau, maka apabila beliau tulis tentang perkara itu saya dapat rasakan "something doesn't hold water here".

11. Apapun panji Malaysia Today terus dikibar oleh RPK. Tak mustahil satu hari nanti pemerintahan BN akan tumbang gara-gara serangan sebuah peluru berpandu bernama "Malaysia Today".

Thursday, July 8, 2010

USAH BICARA PASAL MELAYU....

1. Mutakhir ini banyak media baru dan media lama membicarakan berkenaan "Melayu". Bahkan ada yang mengkhususkan diri mereka berkenaan perbicaraan pasal "Melayu".

2. Saya bukan muak dengan siri-siri perbincangan berkenaan Melayu yang bagai hidangan nasi lemak setiap pagi tetapi ingin mempersoalkan apa pentingnya membincangkan berkenaan "Melayu" di dalam media-media tersebut.

3. Yang peliknya yang suka membicarakan berkenaan "Melayu" adalah mereka yang separuh Melayu atau "Melayu celup". Darah mereka bukan darah asli Melayu.

4. Orang Melayu pasal sifat dan budayanya tidak suka kepada perbincangan diri mereka sendiri. Ini dapat dilihat dari segi sejarahnya orang Melayu tidak menulis tentang diri mereka. Sukar mendapat bahan tulisan berkenaan Melayu oleh orang Melayu.

5. Menurut satu sumber Munsyi Abdullah yang merupakan penulis terawal tentang orang Melayu adalah berdarah Arab dan India. Manakala di era moden ini penulis tentang "The Malay Dilemma" adalah seorang yang berdarah India.

6. Apakah agenda mereka yang berdarah bukan Melayu asli membicarakan berkenaan Melayu? Adakah mereka orang luar oleh itu mereka dapat melihat apa itu "Melayu"?

7. Begitulah juga di era media baru. Blog-blog yang bercambah tentang perbicaraan tentang Melayu adalah mereka yang berdarah bukan asli Melayu.

8. Orang Melayu pada sifat dan budayanya tidak suka membicarakan pasal diri mereka sendiri. Mereka bersifat tidak suka "membuka pekung di dada". Mereka tidak akan membantah sesuatu apa yang mereka tidak suka secara terbuka tetapi menyimpannya di dalam hati.

9. Memang saya setuju dengan sifat Melayu mereka ini menyebabkan mereka rugi dalam banyak aspek tetapi seperti yang saya katakan bahawa "Melayu celup" yang cuba mengungkap apakah itu Melayu dan bahkan ada yang terang-terangan memperjuangkan agenda Melayu seolah-oleh mereka lebih Melayu dari orang Melayu.

10. Adakah dengan sifat dan budaya "bodoh" orang Melayu ini menyebabkan mereka dikesiani oleh "Melayu celup"? Itulah yang cuba dirungkai oleh saya...

YAHUDI BANGSA CERDIK?

1. Ungkapan sebegitu selalu disinonimkan dengan bangsa Yahudi. Dalam tiga agama Abrahamic: Islam, Kristian dan Judaisma, dua adalah dikaitkan dengan bangsa Yahudi. Manakala satu kepada bangsa Arab.

2. Bahkan agama Islam sendiri mengesahkan beberapa prinsip dan nama-nama beberapa nabi adalah dari Bani Israel.

3. Bayangkan hampir separuh dari 6 bilion manusia adalah beragama Abrahamic.

4. Dengan dogma-dogma agama, sejumlah besar manusia boleh terpengaruh dengan agama yang disinonimkan dengan bangsa Yahudi. Bukan itu sahaja dogma-dogma mereka diikuti sehingga kini.

5. Di dalam perpustakaan saya ada 3 biji buku yang ditulis oleh orang Yahudi. Pertama, "Diplomacy" oleh Henry Kissinger. "Power" dan "The Art of War" oleh Robert Greene.

6. Tapi saya rasa saya adil dengan mereka kerana bukan saya inginkan apa yang mereka boleh berikan kepada saya tetapi mereka juga berkehendakkan sesuatu dari saya. Lebih kurang 14 tahun lepas seorang Yahudi Kanada telah mengadap saya untuk mempelajari ilmu bahasa Melayu dengan saya disebuah institusi bahasa di ibu kota.

7. Mereka adalah bangsa yang minoriti di Asia Barat tetapi penangan mereka boleh mengalahkan bangsa majoriti.

8. Bahkan kuasa-kuasa besar dunia samada kini atau sejarah dibayangi oleh mereka seperti Jerman, UK dan Amerika Syarikat.

9. Mereka juga dikaitkan dengan syarikat konsultansi yang dirujuk oleh negara Malaysia.

10. APCO yang suatu ketika kecoh diarena politik Malaysia juga dibayangi oleh tokoh-tokoh Yahudi. Manakala dari segi negatif impak pula keributan kewangan pada 1997/1998 dikaitkan dengan pedagang matawang Yahudi: George Soros.


Friday, July 2, 2010

Cara Berhujah Di Mahkamah

1. Saya telah diterimamasuk sebagai peguam pada 1998. Sepanjang tempoh 12 tahun selepas diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya tentu banyak perkara yang telah saya lalui khususnya berkenaan hubungan saya dan mahkamah.

2. Hubungan yang dimaksudkan bukan bermaksud kenalan dan seteru yang saya bina tetapi dari segi pengalaman menghujahkan kes.

3. Seperti yang saya perkenalkan diri saya, bahawa saya adalah "peguam litigasi". Saya menjalankan kes-kes bicara dengan memeriksa saksi-saksi dan menghujahkan kes. Tidak kurang juga mengendalikan rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

4. Memang saya ada tahun-tahun yang aktif dan ada tahun-tahun yang gersang sepanjang tempoh di atas.

5. Katakanlah 5 tahun aktif dimana saya mengendalikan paling kurang 10 hingga 15 bicara sebulan maka ini bermakna saya telah mengendalikan kes bicara dan rayuan antara 600 hingga 900 kes sepanjang 5 tahun aktif.

6. Itu sudah dikira banyak.

7. Cukup pasal diri saya. Kita kembali kepada topik. Saya telah google tajuk "Cara Berhujah Di Mahkamah" tiada lagi blog berkenaan tajuk ini setakat posting ini ditulis.

8. Selain kemahiran berhujah di ambil dari pengalaman, pembacaan juga hendaklah meluas. Ini bukan bermaksud buku yang kecil tidak penting.

9. Buku seperti "The Technique of Advocacy" oleh John H Munkman adalah berguna.

10. Di antara ilmu yang saya perolehi dari buku ini adalah kita hendaklah memasuk unsur "sindiran" semasa memerisa saksi.

11. Di dalam buku Footprints of a Judge's Journey ada satu topik "Trite Law-Save A Tree". Penulis berpandangan betapa peguam harus tidak menghabiskan masa dalam berhujah dalam perkara yang telah selesai. Ia dipanggil "trite law".

12. Kita tidak harus menjadikan hakim sebagai musuh semasa berhujah. Tetapi kita berhak kepada rayuan jika kita tidak berpuas hati dengan keputusan mana-mana hakim.

13. Jika berhujah kes selepas bicara kita harus cekap di dalam membaiki mana-mana kekurangan semasa dalam pemeriksaan saksi-saiksi. Kita seperti pomen atau tukang jahit. membaiki mana yang rosak dan menjahit mana yang tembus.

14. Harus diingat apa yang disoal dan dibangkitkan dalamn pemeriksaan sahaja harus dihujahkan.

15. Kita harus cekap dalam ilmu keterangan. Kerana keterangan kita boleh menang kes.

16. Kita harus memilih perkataan yang sesuai atau "courtly words".

17. Akhirnya, penghujahan harus ditumpukan dalam membunuh hujah-hujah lawan sehingga dia tidak boleh bangkit dan melawan lagi!