Wednesday, April 15, 2009

HAD KEBEBASAN BERSUARA

1. Kebebasan bersuara dijamin dan dilindungi oleh Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

2. Saya faham kebebasan bersuara termasuk kebebasan untuk berkomunikasi dan berhubung secara rahsia dan privasi tanpa diintip dan diganggu.

3. Tetapi hak ini boleh dihadkan oleh undang-undang yang diluluskan oleh Palimen (Artikel 10 (2) Perlembagaan Persekutuan).

4. Antara contoh Akta yang menyekat kebebasan bersuara secara rahsia dan privasi adalah Seksyen 43 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

5. Akta ini memberi hak kepada Pendakwa Raya atau seorang pegawai Suruhanjaya (SPRM) 'untuk memintas perhubungan' samada melalui barangan 'pos' atau "apa-apa telekomunikasi".

Monday, April 13, 2009

NEGARA HUKUM

1. Secara jujur saya mengatakan bahawa saya tidak pernah mendengar atau membaca dari mana-mana buku jurisdiksi perundangan Islam atau Barat tentang istilah "Negara Hukum", melainkan saya mendengarnya dari Dato Seri Anwar Ibrahim (Ketika berdebat dengan Dato Sabri Chik yang disiarkan oleh tv tempatan).

2. Saya ada membelek buku The Laws. Plato ada berkhayal tentang Negara Hukum. Tetapi beliau tidak secara langsung menyebut istilah "Negara Hukum".
"Negara Hukum adalah negara yang mendaulatkan hukum dan hukum berada di tempat tertinggi. Lebih tinggi dari sesiapa yang ada dalam negara. Tiada sesiapa yang berada di atas hukum."

3. Plato hanya berutopia tentang jenis undang-undang untuk sebuah negara yang difikirnya idealistik.

4. Negara Hukum adalah negara yang mendaulatkan hukum dan hukum berada di tempat tertinggi. Lebih tinggi dari sesiapa yang ada dalam negara. Tiada sesiapa yang berada di atas hukum.(Definisi ini oleh saya sendiri).

5. Boleh jadi pahit maung yang dilalui oleh Dato Seri Anwar Ibrahim selepas dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan beliau didakwa dan dibicara dengan salahlaku jenayah, beliau memahami betapa perlunya kepada sebuah Negara Hukum.

Saturday, April 11, 2009

Apabila Hakim Jadi Mangsa Sistem Kehakiman...

1. Seperti yang saya katakan dalam posting PEGUAM GANJIL! "abuse of legal process" dan "conspiracy to injure" hanya dilakukan oleh pakar-pakar litigasi dan mereka yang mempunyai "resource" yang besar.

2. Konspirasi dan penyalahgunaan sistem kehakiman ini tidak ditujukan kepada rakyat biasa tetapi juga ditujukan kepada hakim iaitu penjaga sistem keadilan negara.

3. Di dalam kes Probil Sonati Development Sdn. Bhd. v Hodan-R Sdn. Bhd. [2009] 7 MLJ 739 dilaporkan bahawa Hakim Dato' Mohd Hishamuddin mengatakan, secara obiter:-

Para 32: "I must also add that the fact the D5 suit against me was an abuse of legal process of court is also clearly shown by the fact that both the respondent and his client (the plaintiff in the D5 suit) were absent when the attorney general's application to strike out the plaintiff's action pursuant to O 18 r 19 of the Rules of the High Court 1980 was heard before Ramli Ali J on 13 March 2007."

4. Hakim itu membuat pemerhatian bahawa beliau juga menjadi mangsa "abuse of legal process", yang merupakan kesalahan tort. Di mana beliau boleh memohon dari mahkamah untuk pampasan dan gantirugi sebagai plaintif.

5. Siapakah yang berhak mewakilinya? Orang Jabatan Peguam Negara? Atau mana-mana peguam swasta?

6. Saya ada membaca di dalam jurnal undang-undang, Hakim Gopal Sri Ram melantik peguam swasta untuk membuat tuntutan terhadap buku-buku di dalam perpustakaan bekas rakan kongsi beliau semasa beliau menjadi peguam swasta.

7. Di dalam posting Sivakumar v 3 Adun Lompat dan Krisis Perak Implikasi Terhadap Landskap Politik Negara saya ada membicarakan berkenaan pentafsiran Seksyen 24 Goverment Proceeding Act 1956. Saya hujahkan ia adalah elektif sebagai pentafsiran jalan tengah. Jika tidak ia dilihat ultra vires Perlembagaan Persekutuan khususnya Artikel 5.

PEGUAM LICIK!


1. Berat untuk mengisahkan cerita ini. Jika salah mengatur huruf-huruf dan ayat-ayat, ia seolah-olah meludah ke langit akhirnya jatuh ke atas muka sendiri.

2. Akhirnya saya akur. Saya ingin mengisahkan juga darihal peguam licik kepada pembaca blog.

3. Dua biji telur ayam kampung dan segelas air susu lembu segar membuka minda dalam memilih huruf dan ayat.

4. Di dalam cerita PEGUAM GANJIL saya telah mengisahkan seorang peguam Malaysia yang saya jumpa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Jalan Duta yang melakukan kes-kes unik seperti "abuse of legal process" dan "conspiracy to injure".

5. Saya dapat melihat dari kakitangan-kakitangan mahkamah, kakitangan-kakitangan pejabat peguam dan bahkan peguam sendiri menjauhkan diri kerana takut DISAMAN oleh peguam tersebut kerana entiti yang disamannya adalah firma-firma guaman terkenal dan peguam-peguam senior dan entiti-entiti korporat yang kiraan keuntungannya mencecah bilion Ringgit Malaysia.

6. Tapi saya memberanikan diri menghampirinya, kerana saya pun peguam litigasi juga. Seperti yang saya katakan "hanya jauhari mengenal manikam".

7. Kali ini saya ingin membicarakan tentang peguam licik Amerika Syarikat yang dikisahkan oleh majalah Fortune keluaran April. (Lihat gambar di atas).

8. Peguam litigasi licik yang bernama Marc Dreier disenaraikan kedua selepas Bernie Madoff. Jika Madoff melibatkan tipu-daya pelaburan mencecah puluhan bilion USD, Dreier mencecah USD700 juta. Kita membicarakan nilai matawang USD! Cuba tukarkan kepada matawang Ringgit Malaysia.

9. Dreier bukan sembarangan peguam litigasi. Ketika berada di puncak firmanya pernah mempunyai 560 kakitangan dan 260 peguam.

10. Tidak cukup skilnya dalam bidang litigasi beliau mencebur dalam bidang urusniaga nasihat pengkorporatan dan pelaburan. Di sini silapnya. Beliau tidak menfokuskan kerjayanya.

11. Beliau menjual nota-janji (promissory note) kepada pengurus-pengurus dana.

12. Urusan yang dilakukan oleh beliau ialah mencari duit kemudian membuat hutang. Gali lubang kambus lubang. Di sini silap beliau.

13. Akhirnya satu episod yang menyebabkan beliau ditangkap, seperti lapor Fortune, ialah beliau menyamar sebagai "general counsel" yang bernama Michael Padfield. Dengan mengambil kad perniagaanya dan menyamarnya sebagai Padfield kepada agen Fortress. Akhirnya agen itu mengesyaki penyamaran dan melapor kepada pihak berkuasa. Akhirnya beliau ditangkap oleh pihak berkuasa dan didakwa di mahkamah.

14. Pengajaran yang dapat diambil darim kisah Dreier ini ialah fokuskan kerjaya kita. Kalau peguam litigasi fokuskan sebagai peguam litigasi. Jadilah pakar dalam kes-kes litigasi.

15. Mungkin nasihat ini juga berguna untuk rakan peguam di Malaysia...

Friday, April 10, 2009

IKTIBAR DARI KRISIS POLITIK DI THAILAND


1. Seperti dilaporkan oleh media-media, krisis politik di Thailand begitu meruncing.

2. Krisis ini di antara dua kumpulan; pertama, Kumpulan Pro-Thaksin (baca: Pro-Rakyat). Kedua, Pro-Istana.

3. Mengapa saya mengkelas begitu? Sedangkan ada bukti kumpulan yang saya kelaskan sebagai kumpulan Pro-Istana juga disokong oleh rakyat?

4. Ya memang didokongi oleh rakyat. Jika diteliti dengan halus, benang-benang politik yang berpintal-pintal itu menuju ke Istana Chakri. Nanti saya kemukakan bukti. Jika tidak dibuktikan "beyond the shadow of doubt" pun cukuplah jika bukti ini ada asas dari beban "prima facie". Jangan salahkan saya. Salahkan pelapor dan sumber maklumat yang saya bergantung.

5. Kumpulan Pro-Thaksin memakai baju merah. Manakala Kumpulan Pro-Istana memakai baju berwarna kuning.

6. Ketika Kumpulan Pro-Thaksin menguasai Kerajaan Thailand, Kumpulan Pro-Istana turun di jalan-jalan dan membuat kepungan di tempat-tempat yang strategik sehingga memaksa Kumpulan Pro-Thaksin menyerahkan kuasa kepada Kumpulan Pro-Istana.

7. Namun begitu, apabila Kumpulan Pro-Istana berkuasa, Kumpulan Pro-Thaksin pula turun di jalan-jalan membuat kepungan.

8. Krisis kepimpinan politik seakan tiada penghujung di negara Gajah Putih ini.

9. Sebuah akhbar berbahasa Inggeris "The Sun", pada 19.04.2009, bersumberkan AFP melaporkan "Demonstrators wearing signature red shirts massed outside the house of the top royal aide whom they accuse of masterminding the 2006 coup that ousted former premier Thaksin Shinawatra and eventually led to Abhisit's rise."

10. Berita-berita, seperti yang saya petik di atas, menunjukkan seakan ada pertarungan kuasa antara Institusi Rakyat di Thailand dengan Institusi Raja.

11. Perbincangan ini membawa kepada penyokong-penyokong kedua-kedua pihak memprotes dengan turun di jalan-jalan dan mencatur siapa yang harus memegang kuasa eksekutif (Perdana Menteri) negara yang dahulunya dikenali Siam.

12. Jika KUmpulan Pro-Thaksin berkuasa dan menang dalam percaturan mereka maka saya berpendapat Institusi Raja di Thailand tidak akan bertahan lama. Teori domino yang berlaku di Nepal boleh saja terjadi di Thailand.

13. Cara terbaik menyelesaikan konflik antara Institusi Rakyat dan Institusi Raja adalah dengan mengadakan pilihanraya.

14. Sudah pasti, pada jangkaan saya, Kumpulan Pro-Thaksin akan menguasai keputusan 'peti undi', jika tiada ilmu silap-mata.

15. Negara Gajah Putih sekarang ini pada pemerhatian saya sedang menempuh era transisi kepada kuasa mutlak terletak kepada Institusi Rakyat.



Wednesday, April 8, 2009

AYAM HUTAN



1. Ini adalah gambar ayam hutan. Saya ambil di sebuah kampung di Terengganu.

2. Cuba anda buat carian dengan google blog search. Hanya ada satu blog saja berkenaan spesis haiwan hutan yang agak ganjil ini.

3. Cara untuk mengenali spesis ayam hutan ini ialah:-
(i) Dicuping telinganya ada bintik putih.
(ii) Kakinya agak hitam.
(iii) Tubuhnya agak kecil. Besar sedikit dari ayam kapan dan kecil sedikit dari ayam kampung.

4. Orang-orang Melayu, di dusun dan kampung, percaya bahawa spesis ayam hutan ini dipelihara oleh orang bunian.

5. Orang Melayu tua-tua juga mengkisahkan kepada saya bahawa ada pantang larang untuk memburu ayam hutan.

6. Jika melangar pantang larang ditakuti pemburu tersebut akan kena "badi ayam".

7. Maka ada upacara melepaskan badi ayam harus dibuat.

8. Saya pun tidak pernah melihat upacara itu. Sejauh mana kebenarannya saya belum dalami dan belum ketahui.

9. Tapi saya pernah memburu ayam hutan dengan senapang bersama pak cik saudara. "Bang!!!" tembak kemudian sembelih.

10. Dagingnya agak keras sedikit dari ayam kampung.

11. Jika dipelihara haiwan ini bersifat "kehutanan" sedikit. Tidak suka tidur dalam reban. Tidur di atas pokok.