Friday, April 10, 2009

IKTIBAR DARI KRISIS POLITIK DI THAILAND


1. Seperti dilaporkan oleh media-media, krisis politik di Thailand begitu meruncing.

2. Krisis ini di antara dua kumpulan; pertama, Kumpulan Pro-Thaksin (baca: Pro-Rakyat). Kedua, Pro-Istana.

3. Mengapa saya mengkelas begitu? Sedangkan ada bukti kumpulan yang saya kelaskan sebagai kumpulan Pro-Istana juga disokong oleh rakyat?

4. Ya memang didokongi oleh rakyat. Jika diteliti dengan halus, benang-benang politik yang berpintal-pintal itu menuju ke Istana Chakri. Nanti saya kemukakan bukti. Jika tidak dibuktikan "beyond the shadow of doubt" pun cukuplah jika bukti ini ada asas dari beban "prima facie". Jangan salahkan saya. Salahkan pelapor dan sumber maklumat yang saya bergantung.

5. Kumpulan Pro-Thaksin memakai baju merah. Manakala Kumpulan Pro-Istana memakai baju berwarna kuning.

6. Ketika Kumpulan Pro-Thaksin menguasai Kerajaan Thailand, Kumpulan Pro-Istana turun di jalan-jalan dan membuat kepungan di tempat-tempat yang strategik sehingga memaksa Kumpulan Pro-Thaksin menyerahkan kuasa kepada Kumpulan Pro-Istana.

7. Namun begitu, apabila Kumpulan Pro-Istana berkuasa, Kumpulan Pro-Thaksin pula turun di jalan-jalan membuat kepungan.

8. Krisis kepimpinan politik seakan tiada penghujung di negara Gajah Putih ini.

9. Sebuah akhbar berbahasa Inggeris "The Sun", pada 19.04.2009, bersumberkan AFP melaporkan "Demonstrators wearing signature red shirts massed outside the house of the top royal aide whom they accuse of masterminding the 2006 coup that ousted former premier Thaksin Shinawatra and eventually led to Abhisit's rise."

10. Berita-berita, seperti yang saya petik di atas, menunjukkan seakan ada pertarungan kuasa antara Institusi Rakyat di Thailand dengan Institusi Raja.

11. Perbincangan ini membawa kepada penyokong-penyokong kedua-kedua pihak memprotes dengan turun di jalan-jalan dan mencatur siapa yang harus memegang kuasa eksekutif (Perdana Menteri) negara yang dahulunya dikenali Siam.

12. Jika KUmpulan Pro-Thaksin berkuasa dan menang dalam percaturan mereka maka saya berpendapat Institusi Raja di Thailand tidak akan bertahan lama. Teori domino yang berlaku di Nepal boleh saja terjadi di Thailand.

13. Cara terbaik menyelesaikan konflik antara Institusi Rakyat dan Institusi Raja adalah dengan mengadakan pilihanraya.

14. Sudah pasti, pada jangkaan saya, Kumpulan Pro-Thaksin akan menguasai keputusan 'peti undi', jika tiada ilmu silap-mata.

15. Negara Gajah Putih sekarang ini pada pemerhatian saya sedang menempuh era transisi kepada kuasa mutlak terletak kepada Institusi Rakyat.



No comments:

Post a Comment