Friday, March 13, 2009

KRISIS PERAK: IMPLIKASI TERHADAP LANDSKAP POLITIK NEGARA

1. Krisis di Perak tak harus dilihat mempunyai implikasi kepada politik di Perak sahaja.

2. Ia jauh lebih besar. Ia mampu membina dan mencorak landskap politik NEGARA. Di antara isu-isu yang berputar dalam krisis ini:-

(1) Kuasa Sultan dalam melantik dan memecat Menteri Besar;

(2) Pendefinisian dan pengidentitian speaker;

(3) Pemikiran semula undang-undang kepartian seperti melompat parti, akurjanji taat-setia kepada parti dll; dan

(4) Hak dan kebebasan untuk memilih dan melantik peguam;

Kuasa Sultan dalam melantik dan memecat Menteri Besar

3. Kuasa Sultan (baca: Yang Di-Pertuan Agong, Yang Di-Pertua Negeri) dalam melantik dan memecat Menteri Besar(baca: Perdana Menteri, Ketua Menteri).

4. Implikasinya cukup besar kepada landskap politik negara tidak terhad samada ketika politik negara dalam keadaan tidak stabil contohnya kemenangan parti politik dalam pilihanraya dengan majoriti yang nipis atau lelompat wakil rakyat sehingga menimbulkan ketidakstabilan politik.

5. Saya dapati dalam isu ini ada 'percanggahan' pandangan oleh professor-professor dalam bidang ini antara apa yang mereka tulis dengan 'pemikiran-semula' mereka selepas isu di Perak timbul.

6. Professor Dr Abdul Aziz Bari (ditulis bersama dengan Farid Suffian) dalam bukunya Constitution of Malaysia menyatakan Reid Commission mencadangkan jika Perdana Menteri (baca: Menteri Besar, Ketua Menteri) hilang keyakinan Dewan maka mereka hendaklah 'mengosongkan pejabatnya". Tetapi semua maklum, saya sendiri pula telah mengesahkannya secara langsung dengan beliau dalam sebuah forum, selepas krisis di Perak bahawa Sultan tidak boleh sewenangnya mengarahkan Dato' Seri Nizar mengosongkan pejabatnya.

7. Professor Dr Shad Saleem Faruqi di dalam Document of Destiny menyatakan Yang Di-Pertuan Agong hanya boleh melantik tapi tidak boleh memecat Perdana Menteri. Tapi, seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris ketika isu pemecatan Dato Seri Nizar, beliau mengatakan semula bahawa kuasa melantik termasuk kuasa memecat dengan merujuk kepada Interpretation Act.

8. Cukup setakat ini bagi isu ini dalam aspek undang-undang, kalau ada kesempatan saya kembangkan lagi perbincangan isu kritikal ini.

9. Kita berpindah kepada isu politik. Implikasi politik ialah kuasa yang diberi oleh rakyat dalam pilihanraya kepada wakil rakyat untuk memimpin mereka termasuk untuk membuat keputusan siapa harus menjadi Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar boleh dinafikan atau diveto oleh Sultan, Yang Di-Pertua Negeri atau Yang Di-Pertuan Agong.

10. Saya ada baca blog bahawa ada ura-ura bahawa kemungkinan Najib akan dihalang dari menjadi Perdana Menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong. Walaupun ia mungkin satu spekulasi atau fakta yang belum disahkan tetapi kemungkinan-bolehberlakunya keadaan ini tidak harus dipandang ringan.

11. Dalam isu-isu yang lebih besar seperti pentafsiran demokrasi; mantra "government of the people, by the people, to the people" hanya sekadar menjadi sebutan-sebutan dibibir pejuang demokrasi. Kerana kerajaan ditentukan oleh "elit kuasa" yang mendapat kuasa secara warisan (monarchy).
"UMNO tidak boleh ketawa terhadap PAS kerana PAS sekarang tengah jatuh longkang. Kerana apabila UMNO jatuh longkang orang lain boleh ketawa terhadap mereka pula. Semua pihak harus siaga. "

12. UMNO tidak boleh ketawa terhadap PAS kerana PAS sekarang tengah jatuh longkang. Kerana apabila UMNO jatuh longkang orang lain boleh ketawa terhadap mereka pula. Semua pihak harus siaga.

13. Dato Seri Utama Dr Rais Yatim pula berpendapat bahawa ada tiga perlembagaan negeri yang memberi kuasa mutlak kepada Sultan untuk melantik dan memecat Meneteri Besar. Katanya, seperti yang dilaporkan oleh rangkain televisyen Malaysia, negeri tersebut ialah Perak, Perlis dan Terengganu.

14. Kita lihat apabila Raja menghulurkan tangannya dalam urusan politik di negeri Perlis dan Terengganu, selepas pilihanraya lepas, UMNO tidak memberontak. Boleh jadi mereka ada pakar undang-undang. PAS, ya bersama Pakatan Rakyat, pula memberontak selepas Dato Seri Nizar diperkotak-katikkan.

Pendefinisian dan pengidentitian speaker

15. Institusi ini tidak pernah menjadi fokus utama tajuk perbincangan komuniti kenegaraan, melainkan semakin hangat selepas Sivakumar melancarkan serangan dengan peluru-peluru pendefinisian dan pengidentitian siapakah speaker sebenarnya.

16. Terkini, ketika artikel ini ditulis, Mahkamah Rayuan akur bahawa speaker adalah identiti yang terasing dari "state officer or entity of the state government." putus Hakim Raus (NST: 14.03.2009).

"Institusi ini tidak pernah menjadi fokus utama tajuk perbincangan komuniti kenegaraan, melainkan semakin hangat selepas Sivakumar melancarkan serangan dengan peluru-peluru pendefinisian dan pengidentitian siapakah speaker
sebenarnya. "


17. Baca hujah saya dalam posting Sivakumar v 3 Adun Lompat untuk alasan lebih kukuh. Mengapa tidak ditafsirkan saja bahawa Seksyen 24 (3) Government Proceeding Act 1956 sebenarnya ultra vires Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan. Atau mengambil jalan tengah bahawa Seksyen 24(3) GPA 1956 adalah bersifat elektif.

18. Kalau dia bukan pegawai kerajaan maka siapa yang membayar gajinya pula? Jelaskan identiti dan definisi speaker sejelas-jelasnya.

Pemikiran semula undang-undang kepartian seperti melompat parti, akurjanji taat-setia kepada parti dll

19. Dalam posting Dato Seri Nizar v Sultan Azlan Shah saya berkata:
"Isu (i) kes fakta yang sama telah diputuskan dalam Datuk Ong Kee Hui vs Sinyium Anak Mutit (1983) 1 MLJ 36. Ringkasnya surat perletakan jawatan sebagai ADUN tidak bertarikh tersebut tidak efektif. Lebih-lebih lagi fakta di kes di Perak, mereka telah menulis surat membatalkan surat perletakan jawatan yang tidak bertariklh.

6. Isu (ii) kes fakta yang sama juga telah diputuskan dalam kes Nordin Bin Salleh v DUN Kelantan. Wakil rakyat bebas untuk melompat parti yang mana yang mereka suka."
"Adalah bahan ketawa negarawan negara-negara lain bila wakil rakyat di Malaysia boleh melompat parti dan hak mereka untuk melompat dilindungi sebuah institusi yang dikatakan strategik dalam struktur negara demokrasi. "

20. Kes-kes di atas diputuskan oleh dua bekas Ketua Hakim Negara yang kontroversi. Satu yang dipecat dari jawatan Ketua Hakim Negara secara tribunal dan satu diputuskan oleh ahli tribunal yang dikatakan mempunyai kepentingan.

21. Sampailah masa untuk pemikiran semula kes-kes di atas dalam tentang taat-setia wakil rakyat dengan parti mereka dan hak berpersatuan yang dilihat ditafsirkan secara atas kertas, bukan atas semangat undang-undang.

22. Adalah bahan ketawa negarawan negara-negara lain bila wakil rakyat di Malaysia boleh melompat parti dan hak mereka untuk melompat dilindungi sebuah institusi yang dikatakan strategik dalam struktur negara demokrasi.

Hak dan kebebasan untuk memilih dan melantik peguam

23. Isu ini hangat diperdebatkan.

24. Saya dalam posting Sivakumar v 3 Adun Lompat berhujah bahawa Seksyen 24 Goverment Proceeding Act 1956 harus ditafsirkan sebagai elektif. Iaitu "pegawai kerajaan" boleh memilih samada hendak pakai orang Jabatan Peguam Negara atau peguam persendirian.

25. Begitu juga saya berpendapat dengan hak memilih peguam dijamin oleh Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan, luaskan skop dan semangat Artikel ini kepada aspek lain. Maka hak untuk mendakwa tertuduh dalam kes jenayah bukanlah hak ekslusif sebuah entiti elit yang dipanggil orang Jabatan Peguam Negara.
"Mahukah anda menyerahkan kuasa menggunakan pisau dan gunting untuk membedah jantung dan hati anda kepada doktor yang bermusuh dengan anda? Tanyakan soalan ini kepada semua pihak. Hakim, pendakwa dan lain-lain."

26. Kita lihat dalam kes Altantunya, konflik yang rumit diharu-birukan lagi oleh hak keluarga untuk mendapat pendakwaan sewajarnya terhadap orang yang mereka syak membunuh anaknya. Warganegaranya. Secara halus dialih kepada hak negara di bawah kuasa sekali lagi orang Jabatan Peguam Negara.

28. Biarkan keluarganya melakukan pendakwaan. Biar mereka puas hati. Setelah didakwa dengan peguam terbaik atas arahan mereka tertuduh bebas jua. Maka tertuduh harus dilihat telah suci "dari hujung rambut hingga kehujung kaki".

29. Begitulah dalam kes Sivakumar. Perumpamaannya begini.....Mahukah anda menyerahkan kuasa menggunakan pisau dan gunting untuk membedah jantung dan hati anda kepada doktor yang bermusuh dengan anda? Tanyakan soalan ini kepada semua pihak. Hakim, pendakwa dan lain-lain.

30. Pisau dan gunting bagi hakim, pendakwa, peguam adalah bahasa-bahasa mereka dalam hujah-hujah dan dokumen-dokumen. Walhal, mencari keadilan adalah lebih seni dan halus lagi dari membedah hati-hati manusia. Kerana jika doktor membedah hati dan jantung manusia, mereka boleh melihat urat-urat. Tetapi keadilan bukan dilihat, tapi dirasa oleh hati-nurani dan akal.

31. Itulah falsafah yang ada dalam Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.

Kesimpulan

32. Buat rakyat dan para ahli hukum, terutama hakim, pendakwa dan peguam, jika kita ingin menjadi negara pengekspot produk perundangan kita harus berani beralih dari panas terik mentari ke tempat yang lebih teduh yang dibawah naungan sebuah pokok.

33. Pokok itu adalah "idea-idea baru tentang pentafsiran undang-undang yang berani mewacanakan "apakah kemahuan keadilan sebenarnya!".

2 comments:

  1. Saya berminat dengan huraian saudara. Boleh kembangkan lagi artikel di atas kerana tajuknya sangat penting.

    Dr Tajudddin

    ReplyDelete
  2. Siaga tu apa?

    Azlina

    ReplyDelete