Sunday, July 11, 2010

SHAMS: KAMI BOLEH!

1. Gambar terkini Oslan (Imam Muda, Masjid Wilayah) bersama ex-GB SHAMS dan ex-PK SHAMS di dalam facebook menyebabkan beberapa rakan saya dan saya sendiri terasa demam dek rindu kepada kenangan lama yang mengimbau di Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu (SHAMS).

2. Lantas bagi mengubati kenangan dan rindu itu kami telah merancang bertandang ke BB Salak Tinggi, rumah bekas guru besar pertama SHAMS, Tuan Hj Ibrahim Mohd.

3. Setelah berkumpul di tol Nilai, kami menuju ke BB Salak Tinggi. Akhirnya sampai di kawasan perumahan elit. Dan disambut dengan senyum oleh Tuan Hj Ibrahim (atau lebih mesra kami memanggilnya Ustaz Hing).

4. Kebetulan hari itu orang rumah Ustaz Hing balik kampung. Kami yang telah mengetahui perkara ini telah membawa buah tangan masing-masing.

5. Bermulalah perbualan kami berkenaan dengan pendidikan dan falsafah pendidikan. Hinggalah kritik-kritik terhadap pendidikan yang tidak lengkap dalam melahirkan insan kamil.

6. Seterusnya kami bertukar-tukar khabar.

7. Semasa perhimpunan raya di Dewan Utama SHAMS saya dapati ramai dari ex-SHAMS menjadi pendidik. Melainkan sekerat-dua seperti saya, Marhalim dan lain-lain menjadi professional.

8. Dulu topik pendidikan agak saya tidak gemari kerana ia jauh dari saya.

9. Tapi setelah beristerikan seorang pendidik dan kedua-dua abang saya menjadi pengasas kepada pusat pendidikan maka saya harus menjadikan minat dalam pendidikan untuk memahami orang-orang disekeliling saya.

10. Saya tidak nafikan bahawa sekolah-sekolah lain melahirkan kader yang lebih maju dan tinggi daripada SHAMS tetapi harus diingat bahawa SHAMS baru berusia belasan tahun lebih.

11. Saya masih ingat saya yang bersekolah di luar bandar, Sek. Keb. Merchang. 5 orang daripada kami memperolehi 5A dalam PDL(Penilaian Darjah Lima). Dalam lima ini saya sahaja yang berjaya ke sekolah di bandar.

12. Di bandar saya bersaing dengan anak-anak orang yang telah mempunyai tapak kukuh di pekan yang lebih kompetetif berbanding kampung. Apatah lagi ceruk luar bandar.

13. Di situlah SHAMS telah mendidik kami. Ada antara kami yang telah menjadi pakar bedah, peguam, akauntan, YB, ahli politik, pemain bola negeri, jutawan korporat, wartawan, imam dan lain-lain. Yang istimewanya kami boleh membuka buku Arab dan Inggeris serentak. Kami memahami di mana titik pertemuan dua tamadun: Barat dan Islam.

14. Ustaz Hing telah menyentuh kepada produk pendidikan yang anti-sosial. Ada pusat-pusat pendidikan yang melahirkan insan yang tak sempurna.

15. Apa pun saya berpuas hati dengan SHAMS yang telah mencorak saya seperti saya sekarang.

16. Untuk kawan-kawan ex-SHAMS kita lebarkan lagi jaringan persetiakawan kita dan kita kemaskan lagi saf kita. Untuk yang masih menuntut di SHAMS jadikan abang-abang dan kakak-kakak kamu sebagai dorongan.

17. SHAMS boleh!


No comments:

Post a Comment